Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam (FPI) Terhadap Perkembangan Pendidikan di Malaysia.

 



PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM (FPI) TERHADAP
PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

    Pada era globalisasi kini, tahap pendidikan kian maju dan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ia boleh berlaku. Antaranya adalah pengaruh Falsafah Pendidikan Islam (FPI) di dalam pendidikan di Malaysia. Menurut Hussin (2014), 

    FPI bermaksud satu usaha yang berterusan dalam membentuk diri, menambahbaik peribadi, pembinaan kemahiran diri, dan mencontohi cara hidup Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dengan meningkatkan potensi diri dari segi spiritual, fizikal, intelek, emosi dan sosial agar menjadi manusia yang bertanggungjawab terhadap Allah, persekitaran alam serta manusia ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Maksud FPI ini amat selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bahawa pendidikan bertujuan mengembangkan potensi individu secara menyeleruh dan bersepadu dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) demi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan berkeupayaan memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.

    Terdapat beberapa fasa perkembangan FPI dalam sistem pendidikan negara di Malaysia iaitu fasa sebelum merdeka, fasa selepas merdeka dan fasa selepas 1988. 


    

    Elemen FPI telah diterapkan di dalam pendidikan sejak sebelum 1988 iaitu tahun FPI diwartakan secara rasmi (Suhid & Fakhruddin, 2012). Semasa fasa sebelum merdeka, pengajaran dan pembelajaran  Pendidikan Islam telah dijalankan di surau, masjid, atau di rumah ustaz atau guru. Perkara yang ditekankan adalah pengajian Al-Quran, bacaan solat dan ilmu tentang solat. Tambahan pula, ilmu Fiqh, Tafsir, Tauhid, Sejarah dan Tasawuf Islam juga diberikan pengajaran kepada anak-anak muda. Selepas itu, sistem pendidikan menjadi lebih tersusun dengan kemunculan sistem pengajian pondok. Ini menawarkan mata pelajaran yang lebih meluas seperti Hadis, Sejarah Islam dan Bahasa Arab serta hubungan antara guru dan pelajar bertambah akrab. Setelah sistem pengajian pondok diwujudkan, sistem madrasah dibina dan ia menjadi ikutan penjajah Inggeris iaitu pembinaan sistem sekolah vernakular. Madrasah ini memberi tumpuan kepada mata pelajaran agama tetapi selepas Perang Dunia Kedu, Geografi, Sejarah dan Ilmu Hisab juga ditawarkan. Dengan ini, sukatan pelajaran semakin luas dan tidak hanya tertumpu dengan fardhu ain dan Al-Quran sahaja. Oleh itu, boleh dirumuskan bahawa berdasarkan kurikulum yang telah dibina dan dilaksanakan, FPI telah diterapkan dalam sistem pendidikan walaupun belum diwartakan secara rasmi.


      Beralih pula kepada zaman selepas kemerdekaan, Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 telah menerapkan FPI di dalam sistem pendidikan di Malaysia (Suhid & Fakhruddin, 2012). Walaubagaimanapun,  pendidikan Islam hanya diajar selepas habis sesi persekolahan iaitu pada waktu petang. Setelah Akta Pelajaran 1961 dimulakan secara tepatnya pada tahun 1962, mata pelajaran Pendidikan Islam yang dikenali sebagai Pengetahuan Agama Islam diajara ketika sesi persekolahan rasmi. Pengetahuan Agama Islam menerapkan asas dan prinsip berkaitan Tauhid, Ibadat, Sejarah Islam, Al-Quran dan Hadith. Apa yang boleh kita lihat atas perkembangan ini ialah Pengetahuan Agama Islam kurang memberi tumbuan terhadap penghayatan, akhlak dan keperibadian dan hanya memberi fokus kepada aspek ilmu dan kemahiran. Hal ini berlaku kerana setelah merdeka, sistem pendidikan dipengaruhi oleh falsafah Barat maka kebanyakan falsafah seperti FPK mewarisi sistem pendidikan Inggeris. Mengikut kurikulum Pendidikan Islam ketika ini, terbuktilah bahawa dari aspek metafizik, epistemologi dan aksiologi boleh dikenalpasti yang FPI diterapkan di dalam sistem pendidikan walaupun tidak ditulis secara rasmi.



    Akhir sekali, fasa selepas 1988 iaitu FPI diwartakan pada tahun 1988 dan kewujudan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) serta Falsafah Pendidikan Negara. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Pendidikan Islam pada zaman ini amat mencerminkan FPI kerana ia memberi fokus terhadap semua aspek. Hal ini dikatakn demikian kerana subjek Pendidikan Islam mempunyai cabang-cabang seperti Tilawah Al-Quran dan Hadith, Ulum Syari'ah, serta Adab dan Akhlak Islamiah. Tamadun Islam juga diajar kepada pelajar untuk membuktikan bahawa sistem pendidikan Islam amat memberi kesan kepada pembangunan negara. Selain keberkesanan penyampaian agama Islam kepada pelajar melalui madrasah dan sekolah pondok, subjek Pendidikan Islam ketika sesi persekolahan rasmi boleh membentuk pelajar yang baik dari segi JERI.


    Kesimpulannya, pengaruh FPI dalam memajukan sistem pendidikan Malaysia amat menunjukkan keberkesanan yang baik kerana FPI menerapkan pembentukan rohani kemudian intelek,emosi dan jasmani. Ini menunjukkan bahawa kita perlu sentiasa mengabdikan diri kepada Tuhan kerana semua yang baik datang daripada-Nya. Seperti laungan azan yang sering kita dengari bahawa marilah solat lalu marilah mencapai kejayaan. Saya berharap agar generasi yang akan datang tidak mudah untuk menepis falsafah ini kerana dengan FPI kita tidak akan mudah untuk terpesong ke jalan yang salah.


Disediakan oleh, 

Abdul Muhaimin Bin Johari.

D20211098879


RUJUKAN

Suhid, A., & Fakhruddin, F.M. (2012). Gagasan pemikiran falsafah dalam pendidikan Islam: Hala tuju dan cabaran. Journal of Islamic and Arabic Education, 4(2), 57-70. 

Hussin, S. (2013, January 16). Definisi Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan di Malaysia. Supyan Hussin's Blog. https://supyanhussin.wordpress.com/2014/01/16/definisi-falsafah-pendidikan-islam/

FADHILAT DAN CARA MENJAWAB LAFAZ SERUAN AZAN. (2014, March 18). Shafiqolbu. https://shafiqolbu.wordpress.com/2014/03/18/fadhilat-dan-cara-menjawab-lafaz-seruan-azan/

Awang, A. (2020, November 17). Pertimbang wajibkan murid ikuti kelas Kafa. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/642721/pertimbang-wajibkan-murid-ikuti-kelas-kafa

Sidek, N. (2019, September 14). Sejarah Permulaan Sistem Pendidikan Sekolah Pondok di Tanah Melayu. iluminasi. https://iluminasi.com/bm/sejarah-sistem-pendidikan-sekolah-pondok-di-tanah-melayu.html

Comments